JIM



Seminar Kecemerlangan Wanita Islam di Negeri Sembilan

SEREMBAN, 9 Mei Ahad - “Wanita Sihat Peneraju Keluarga Bahagia” begitulah tema bagi

Seminar Kecemerlangan Wanita Islam (SMIWI) yang telah diadakan di Dewan Sg Ujong, Majlis Perbandaran Seremban, Negeri Sembilan. Ini merupakan julung-julung program yang dianjurkan oleh Wanita JIM Negeri Sembilan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Seremban dan Badan Kebajikan Islam, MPS (BAKI).

Program telah dimulakan pada jam 9.00 pagi dengan bacaan doa oleh Ustaz Haji Mohd Zuhaidi Abd Wahab, Penolong Pengarah Unit Pendidikan Islam, JPNS seterusnya diikuti perasmian oleh Tn Hj Mizan Bin Maulud selaku Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat NS. Beliau menegaskan bahawa majoriti wanita pada zaman ini terlalu mementingkan kecantikan dan kesihatan sehingga menjadi mangsa produk rawatan tersebut tanpa mengetahui langkah penjagaan yang sebenarnya. Saranan beliau supaya wanita hari ini dapat menjaga akhlak, personaliti dan penampilan agar dapat meneraju keluarga yang cemerlang.

Seminar ini dimulakan dengan Slot Perkongsian Rawatan Alternatif – Bekam Al-Hijamah oleh Pn Hjh Noraeni Bt Mohamed. Sesi perkongsian berjaya menarik minat sebilangan peserta untuk mendapatkan rawatan alternative bekam seperti yang dianjurkan oleh baginda sollallahu’alaihi wasallam dalam hadis sohih yang dinyatakan.

Seterusnya ditampilkan tiga agenda bicara iaitu Bicara 1 : Sihat Minda, Sihat Fizikal, Indah Rohani, Sejahtera Diri yang disampaikan oleh Dr Hj Nordin Bin Saleh. Penyampaian beliau memberikan input mengenai tahap kesihatan, gaya hidup individu serta langkah-langkah pencegahan dalam pembangunan gaya hidup yang sihat.

Bicara kedua diteruskan oleh Dr.Maryam Bt Manap yang bertajuk “Anda Adalah Apa Yang Anda Makan” merupakan kesinambungan dari agenda bicara 1. Slot ini lebih memerincikan aspek penjagaan kalori dalam makanan dan nilai-nilai tepat bagi mengambil jumlah kalori yang secukupnya. Pemakanan juga memainkan peranan dalam menentukan tahap kesihatan. Maka cara pengambilan dan adab-adab semasa makan sepertimana yang dianjurkan oleh Rasulullah sollallahu’alaihi wasallam sememangnya memberikan impak yang besar dalam kehidupan seharian kita.

Bicara terakhir disusuli dengan perkongsian Rawatan Islam Melalui Al-Quran oleh Ustaz Hj Hanafi Rahman el-Fesfenji. Dalam slot ini, penyakit spiritual umpama sihir dan berkaitan dengan psikologi iaitu perasaan dengki, marah dan sebagainya dapat dirawat dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran. Tidak dinafikan lagi, konsep istiqamah dengan pengamalan bacaan ayat-ayat Al-Quran juga menjadi pelindung utama kepada kesihatan mental dan spiritual individu.

Seminar ini diakhiri dengan ucapan penghargaan oleh Pn Hjh Minah Bt Ahmad selaku Ketua Wanita JIMNS dan bacaan doa penutup bagi memberkati majlis yang telah berlangsung oleh Ustazah Siti Salma Bt Wahiduddin.

 

Secara keseluruhannya objektif yang diharapkan bagi seminar ini telah berjaya dicapai sepenuhnya. Kebanyakan peserta memberikan respon yang positif dengan menggalakkan seminar seperti ini dianjurkan lagi pada masa akan datang. Sesungguhnya segala usaha murni demi menyampaikan ilmu dan dakwah sememangnya mendapat keberkatan dari Allah dengan dihadiahi galakan dan dorongan pihak luar yang cintakan ilmu.

Ainul Yaqin Binti Abdullah
qistina_eye@ yahoo.com
JK Media & Penerangan
JIM Negeri Sembilan

 
Banner