KUALA LUMPUR, Rabu 6 Mei - Ahli Jawatankuasa (AJK) JIM Pusat telah dijemput untuk hadir ke
Majlis Lawatan Keluarga Mufti Besar Bosnia-Herzegovina di rumah Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI) di Bukit Segambut. Beberapa orang AJK JIM Pusat telah hadir iaitu: Hj Zaid Kamaruddin (Presiden), Hj Syed Ibrahim Syed Noh (Timbalan Presiden), Hj Kamarul Zaman Shaharul Anwar (Penolong Setiausaha Agung) dan Hj Ahmad Jamali Sepihie (Pengerusi Jawatankuasa Penerangan).
Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dan keluarga telah meraikan kehadiran Mufti Besar (Grand Mufti) Bosnia-Herzegovina, Dr. Mustafa Efendi Ceric, isteri dan ahli keluarga beliau yang membuat kunjungan hormat ke rumah beliau. Di samping JIM, beberapa orang pimpinan organisasi lain juga hadir. Antara pimpinan PAS yang hadir ialah Ustaz Ghani Shamsudin, Dr Mohd Hatta Md Ramli, Hj Saari Sungib dan Hj Apandi Mohamad. Beberapa pimpinan NGO lain seperti ABIM, bekas pimpinan veteran ABIM, PKPIM dan lain-lain pimpinan juga hadir.
Turut nampak hadir ialah YB Fairuz, bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.
Dr Mustafa juga telah berkesempatan memberikan ceramah ilmu yang amat menarik dan kontemporari mengenai perubahan politik negara bangsa semasa, seperti perubahan di Turki dan bagaimana kini Islam akan menjadi ideologi perdana yang kian diterima pakai oleh manusia sejagat. Beliau mengucapkan penghargaan yang tinggi kepada DSAI dan keluarga yang banyak membantu beliau dan keluarga, serta rakyat Bosnis-Herzegovina ketika DSAI menjadi Timbalan Perdana Menteri pada satu ketika dahulu.

Dr Mustafa sedang memberikan ceramah ilmu yang amat menarik lagi kontemporari, sambil dipengerusikan oleh DSAI

Hj Syed Ibrahim Syed Noh duduk sebaris dengan Hj Saari Sungib dan lain-lain pimpinan dari pelbagai organisasi

Hj Zaid Kamaruddin duduk sebaris dengan Ustaz Ghani Shamsudin dan Dr Muhammad Nur Manuty

Isteri Dr Mustafa juga menyampaikan ucapan penghargaan kepada keluarga DSAI yang telah banyak membantu keluarga beliau dan rakyat Bosnia-Herzegovina satu ketika dahulu

Dr. Mustafa efendi Ceric bergambar kenangan dengan DSAI dan Us Ghani Shamsudin, serta seorang pimpinan dari organisasi lain











