Petaling Jaya, 20 November - Sumbangan sebanyak 10 ekor lembu bersamaan 71 bahagian telah diberikan oleh pihak Network Planning & Implementation Club (NPIC) CELCOM kepada Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) melalui program Rayuan Qurban Eidul Adha dan Aqiqah 1430H untuk diagihkan kepada umat Islam di Kemboja dan Vietnam.
Serahan sumbangan sebanyak RM21,300.00 telah disampaikan oleh Presiden NPIC, Mohd Yusdee Yusoff kepada Timbalan Pengarah program rayuan qurban tersebut, Wan Mohd Zukri Che Mat Zin di pejabat CELCOM di sini hari ini.
Menurut Mohd Yusdee, program Qurban dan Aqiqah NPIC ini dianjurkan buat kali kedua sejak ia dimulakan pada tahun lalu dan kali ini pihak NPIC memilih JIM untuk menjadi orang tengah dalam menyalurkan sumbangan qurban tersebut kepada mereka yang memerlukan.
Ujar beliau lagi, program yang bermula sejak Mei 2009 ini mendapat sambutan yang baik daripada sebahagian kakitangan dan turut mendapat sumbangan daripada rakan-rakan perniagaan.
Turut hadir dalam majlis serahan tersebut ialah Setiausaha NPIC, Sulaiman Mohamad, Bendahari, Zirwatul Hana Pison dan Pengarah program Qurban dan Aqiqah NPIC, Alikin Ahmad.- JIMedia