JIM



"Radio" Yang Dirindui

Oleh Halimah Abdul Hamid

“Rasa tawar,” kata Abah sambil menyuap nasi.

“Abah ni memang ada saja yang tak kena. Doktor dah pesan kurangkan garam. Jaga makan…”, Mak pun terus dengan respon seperti pengulas sukan yang sedang menceritakan perlawanan bola sepak. Aku dan suami saling berpandangan. Rasa serba salah pun ada. Kasihan Abah. Sedikit saja teguran Abah tetapi disambut dengan komen panjang lebar bak bertih goreng. Abah diam meneruskan makan.

Sudah empat hari Mak berada di Tapah, Perak menemani adik bongsuku yang baru berpindah ke sana. Abah balik ke kampung sendirian di Port Dickson, Negeri Sembilan untuk temujanji dengan doktor tiga bulan sekali. Abah tidak pernah tertinggal sebarang temujanji dengan doktor. Hari itu, aku dan suami menemani Abah ke Tapah. Kakak-kakakku berpesan jangan dibiarkan Abah memandu jauh-jauh seorang diri.

“Macammana rasa balik kampung sorang-sorang Abah?" tanyaku dalam perjalanan kami ke Tapah. Pada usia emas 70-an, Abah dan Mak jarang berpisah. “Makan OK saja. Kak Long hantarkan makanan untuk Abah.” Kak Long, kakak iparku tinggal tidak jauh dari rumah Abah di kampung.

"Tapi Abah rasa sunyi betul masa Mak tak ada di kampung. Sunyi betul tak ada orang mengomel pada Abah,” tambah Abah sambil merenung jauh. Aku dan suamiku saling berpandangan. Masya-Allah.. selama ini kami tidak senang duduk kalau Mak asyik mengomel pada Abah. Rupa-rupanya omelan itu yang dirindui oleh Abah.

”Mak tahu tak, Abah kata, sunyi betul rumah di kampung masa Mak tak ada.” Aku menceritakan kepada Mak semasa kami berdua di bilik. Abah dan suamiku membaca surat khabar di ruang tamu rumah adikku. Mak tersenyum.

"Ateh, memang Mak selalu berleter pada Abah. Tapi tiap-tiap lepas solat berjemaah dengan Abah, Mak minta maaf dari dia,” jelas Mak padaku. Rupa-rupanya Abah dan Mak sudah saling memahami dan menerima. Allah mengurniakan mereka sakinah, mawaddah dan rahmah yang menjangkau ke usia emas. Mudah-mudahan berterusan sepanjang hayat sehingga mereka dipertemukan di syurga, insya-Allah.

Perkongsian Pak Cahyadi Takariawan di Konvensyen Keluarga Duat anjuran JIM baru-baru ini mengimbau kisah Mak dan Abahku. Pak Cahyadi menceritakan bagaimana seorang suami merindui ’keriuhan’ isteri di rumah apabila si isteri meninggalkannya beberapa hari kerana bertugas. Benar, tidak semua suami dapat menahan sekiranya isteri suka berleter. Ada suami yang bersikap seperti Saidina Umar yang hanya berdiam dan bersabar mendengar leteran isteri lantaran mengenangkan terlalu banyak pengorbanan dan kebaikan si isteri. Ada pula yang menganggap leteran isteri sebagai omongan di radio yang tidak menjejaskan emosinya, bahkan merasa kesunyian bila 'radio’ itu tiada. Pak Cahyadi memberikan satu perspektif yang amat positif bahawa leteran dan cakap-cakap isteri adalah hikmah dan anugerah Allah yang membolehkan anak kecil belajar bahasa dengan berkesan. Bayangkan kalau si ibu diam sahaja ketika mendodoikan anak. Akan lambatlah anak kecil itu bisa bercakap.

Alhamdulillah, kehadiran kami suami isteri ke Konvensyen Keluarga Duat mengingatkan kembali visi unggul keluarga dan motivasi suci yang dipateri pada awal penikahan. Visi ini perlu digilap kembali agar jelas nyata. Motivasi suci mesti diperteguhkan agar perjalanan hidup berkeluarga tidak tersasar daripada visi. Peranan selain yang jelas ditentukan syariat perlu disyurakan supaya sepakat. Sembang-sembang santai dan ceria ketika melakukan aktiviti bersama boleh mengurangkan jurang komunikasi antara suami isteri serta anak-anak.

Ya Allah, jadikanlah keluarga kami dan keluarga sahabat-sahabat kami termasuk dalam golongan keluarga duat yang Engkau redhai. Amin Ya Ghafuur, Ya Haadi, Ya Mujiib.

(Coretan sempena Konvensyen Keluarga Duat JIM 2009, Hotel Putra, Kuala Lumpur, 13 Jun 2009)


Halimah Abdul Hamid adalah Ahli JIM Daerah Hulu Langat.

 
Banner